Sunday, March 1, 2009

Kuasa Memanggil Sidang DUN tergempar

Tunggu Selasa ini tengok apa jadi.Sebelah sana kata boleh …sebelah sini kata tak boleh.”Kerajaan lama’ Perak dibawah naungan DAP masih berkeras nak berentap dengan “Kerajaan baru” BN menerusi sidang Dewan Undangan Negeri.

Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri Ahad berkata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V.Sivakumar tidak boleh memanggil satu sidang tergempar dewan itu Selasa ini kerana tindakan itu tidak sah dan tidak boleh diadakan tanpa mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Menurutnya mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar bagi mengulas kenyataan Sivakumar pada Khamis lepas yang beliau bercadang memangggil satu sidang tergempar DUN Perak pada Selasa ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Abdullah berkata beliau telah menerima arahan dari Sivakumar supaya mengeluarkan notis segera untuk sidang tergempar DN pada Selasa ini melalui surat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja dan ADUN Titi Serong.

Beliau berkata walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar Notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.

"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat..".

"PT 10 (1) mengatakan " Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.

Beliau berkata berasaskan PT 10 (1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.

Beliau berkata Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."

Abdullah berkata peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.

Khamis lepas, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Sivakumar mendakwa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar, dan arahan telah diberikan kepada Abdullah untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua ADUN bagi menghadiri sidang tersebut.

Sementara itu Sivakumar yang diminta mengulas kenyataan Setiausaha DUN Perak itu Ahad berkeras mengatakan sidang tergempar Dewan itu Selasa ini adalah sah dan akan diadakan seperti yang telah ditetapkan.

Katanya berkata beliau dengan pakar undang-undang perlembagaan telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap Perak dan mendapati beliau mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

"Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan Dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidang kuasa Speaker," katanya.

Sivakumar sebaliknya menegaskan Abdullah tidak mempunyai kuasa untuk menafsir Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) dan sebaliknya kewajipan beliau (Abdullah) adalah hanya untuk mematuhi perintah dan arahan Speaker serta menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam PT.

Speaker DUN Perak itu berkata Abdullah telah membuat tafsiran yang salah ke atas PT kerana PT 8 (1) jelas menyatakan notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyhuran memanggil Dewan adalah tidak diperlukan, sebaliknya hanya memerlukan notis memanggil Dewan bersidang dikeluarkan dengan seberapa segera.

"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula hanya digunapakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat. Artikel ini tidak boleh digunapakai dalam keadaan setelah Dewan ditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama," katanya.- 1/3/2009

Read more...

About This Blog

About This Blog

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP