Saturday, June 26, 2004

Petisyen

Dua peti undi dilihat di rumah kakitangan SPR sebelum pilihan raya









Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Jumaat, diberitahu bahawa dua peti undi dilihat berada di bawah tangga di luar rumah seorang kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Bukit Mertajam, empat atau lima hari sebelum pilihan raya umum ke-11 diadakan pada 21 Mac lepas.

Mohd Roadhi Ishak, 52, yang tinggal di No 3814, Mukim 21, Kampung Pelet, Bukit Mertajam berkata, pada kira-kira pukul 3 petang hari berkenaan, beliau pergi ke rumah kakitangan SPR itu iaitu Abu Bakar Shaari di No 834, Mukim 3, di kampung yang sama untuk mengutip wang khairat kematian seperti yang diarahkan oleh jawatankuasa kampungnya.

Mohd Roadhi, seorang buruh am di sebuah kilang beras berkata, semasa berada di rumah itu, beliau melihat dua peti undi yang digunakan semasa pilihan raya berada di bawah tangga rumah berkenaan.

"Saya terkejut melihat peti undi itu kerana saya jangka ia adalah salah di sisi undang-undang untuk menyimpan peti undi di rumah seseorang. Tetapi pada masa itu, saya belum betul-betul pasti perbuatan itu adalah salah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Hasan Lah terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Pirdaus Ismail terhadap presiden parti Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Petisyen itu difailkan oleh Pirdaus pada 30 April lepas untuk membatalkan kemenangan Dr Wan Azizah yang dinamakan sebagai defendan pertama yang memenangi pilihan raya ke-11 pada 21 Mac lepas, dengan majoriti 590 undi.

Mohd Roadhi berkata, beliau hairan lalu bertanya kepada isteri Abu Bakar mengenai kedua-dua peti undi itu dan diberikan jawapan bahawa peti-peti undi itu berada di situ untuk dicat.

"Saya tahu Abu Bakar adalah seorang kakitangan SPR dan beliau juga adalah penyokong PAS kerana beliau selalu berada di markas PAS di kampung saya serta selalu memakai pakaian hijau dengan lambang PAS pada majlis keramaian di kampung saya," katanya.

Menjawab soalan Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Pirdaus, beliau berkata, isterinya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Abu Bakar dan beliau juga mengenali Abu Bakar.

Selain itu, katanya, beliau telah tiga kali mengundi pada pilihan raya dan sudah biasa melihat peti undi yang digunakan semasa pilihan raya.

Menjawab soalan balas Peguam Kanan Persekutuan Saiful Edris Zainuddin yang mewakili Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Permatang Pauh, Mustamin Mastak, selaku responden pertama dan SPR selaku responden ketiga, Mohd Roadhi berkata, beliau tidak tahu peti undi itu digunakan di saluran mana dan di pusat mengundi yang mana.

Katanya, beliau pasti peti yang dilihatnya adalah peti undi dan isteri Abu Bakar juga memberitahunya bahawa peti undi itu perlu dicat kerana kejadian itu berlaku beberapa hari sebelum pilihan raya berlangsung.

Sementara itu seorang ejen pilihan raya dan ejen mengira undi BN, Mohd Nizam Man @ Mansor, 20, memberi keterangan bahawa beliau bersama dua lagi ejen mengira undi BN iaitu Mohd Fadzil Ahmad dan Hazali Hassan tidak dibenarkan masuk ke pusat pengiraan undi di Sekolah Kebangsaan Sri Penanti pada hari pengiraan undi, 21 Mac lepas.

Katanya, pegawai SPR di saluran satu di pusat berkenaan memberi alasan bahawa mereka datang lewat dan tandatangan Pengurus Pilihan Raya Negeri pada borang kebenaran masuk ke pusat pengiraan undi yang berwarna putih yang dimiliki mereka adalah salinan fotostat.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka membuat laporan polis pada 25 Mac selepas kejadian berkenaan.

Menjawab soalan balas Christopher Fernando yang mewakili Dr Wan Azizah, Mohd Nizam berkata, tiada sesiapa memberitahunya bahawa beliau tidak layak untuk menjadi ejen mengira undi kerana beliau diberikan dokumen yang dikeluarkan oleh SPR iaitu borang sumpah kerahsiaan berwarna merah jambu, borang kebenaran masuk ke pusat mengira undi berwarna putih dan tanda pengenalan diri berwarna kuning.

Katanya, tiada sesiapa daripada SPR yang memberitahunya bahawa pelantikannya itu telah melanggar Seksyen 13 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Selain Muhammad Shafee, Pirdaus juga diwakili oleh Jahaberdeen Mohamad Yunoos, M.Kirubanandan dan Zakkariyyah Mohd Sultan, manakala Dr Wan Azizah diwakili oleh Fernando, Malik Imtiaz Sarwar, Saiful Izham Ramli, Mohd Yunos Sharif, Zulkifli Nordin dan C.B. Prabakaran.

Responden kedua dan SPR turut diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Kamaludin Md Said dan Kamarudin Kamsun.

Perbicaraan disambung pada 14 Julai ini.(25 Jun 2004)


--------------------------------


Wakil calon BN temui 37 pas ejen mengira undi daripada pemuda pakai jaket Parti Keadilan

Seorang wakil calon Barisan Nasional merampas 37 keping kad ejen mengira undi yang ditandatangani Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan Parlimen Permatang Pauh daripada seorang pemuda yang memakai jaket Parti Keadilan Nasional, pada hari pengundian dalam pilihan raya umum 21 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang diberitahu Rabu.

Shamsut Tabrej G.M.Ismail Merican, 53, seorang Pesuruhjaya Sumpah dan juga wakil calon BN bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh berkata, kesemua kad itu tidak mempunyai gambar, nama, nombor kad pengenalan atau tandatangan pemegang kad itu.

Bagaimanapun, katanya, kad atau pas itu mempunyai tandatangan dan cop RO (Pegawai Pengurus Pilihan Raya) bagi kawasan P 44, iaitu Permatang Pauh, yang sah.

Beliau merupakan saksi kelima yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon BN bagi kerusi itu, Datuk Pirdaus Ismail, yang memohon perisytiharan bahawa kemenangan calon Parti Keadilan Nasional, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai terbatal dan tidak sah.

Wan Azizah, yang memperolehi 21,737 undi bagi menewaskan Pirdaus dengan kelebihan 590 undi, dinamakan sebagai responden pertama, RO kawasan itu, Muzamin Mastak sebagai responden kedua serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Shamsut Tabrej, yang merupakan antara tujuh orang saksi yang memberi keterangan di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Hasan Lah Rabu, berkata bahawa pada 12.30 tengah hari pada hari pengundian itu, beliau terserempak dengan pemuda berkenaan di luar kawasan sebuah bilik gerakan di Kampung Sama Gagah, Permatang Pauh, dan disebabkan rasa curiganya, beliau telah bertanyakan tentang kad itu kepada pemuda berkenaan.

Katanya, ketika beliau merampas kad-kad itu, terdapat dua petugas pilihan raya yang lain bersamanya.

Saksi itu berkata beliau bertindak demikian kerana ia merupakan kad yang terhad dan seorang hanya perlu ada sekeping kad sahaja pada dirinya, yang sepatutnya disematkan di baju atau tempat yang mudah untuk dilihat.

"Saya tidak kenal individu itu dan dia bukan seorang ahli BN kerana saya kenal ahli-ahli kami yang berada di Bilik Gerakan itu. Dia pakai jaket lambang Keadilan. Dia lari dengan pantas selepas saya merampas pas-pas itu tetapi saya tidak dapat mengambil butir-butir peribadinya," katanya.

Shamsut Tabrej beliau tidak melaporkan kejadian itu kepada polis tetapi hanya kepada Ketua Tempat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Sama Gagah kerana beliau yakin SPR akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Katanya, beliau menyimpan kad-kad itu sehingga ia diserahkan kepada peguam.

Seorang lagi saksi, Mohd Adam Ahmad, 49, wakil calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, memberitahu mahkamah bahawa beliau berada di Dewan Maktab Perguruan Tuanku Bainun pada malam pengumuman keputusan pilihan raya dibuat.

Katanya, pada malam itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya hanya mengumumkan keputusan bagi ketiga-tiga kerusi DUN iaitu Seberang Jaya (N10), Permatang Pasir (N11) dan Penanti (N12) tetapi tiada keputusan bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"RO tidak mengumumkan keputusan P44 tetapi kata akan ada kiraan semula undi pada pukul 10 pagi keesokan harinya, dan mengarahkan orang ramai yang berada di dalam dewan supaya bersurai dan polis akan mengambil alih kawalan keselamatan di dewan itu," katanya.

Beliau juga berkata, tiada sebarang sebab diberikan oleh RO mengapa kiraan semula undi perlu dibuat keesokan harinya.

Pada awal perbicaraan, dua daripada empat ejen kiraan undi yang turut memberi keterangan Rabu, memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak dibenarkan masuk ke pusat pengiraan undi walaupun mempunyai dokumen yang telah dikeluarkan oleh RO sedangkan rakan-rakan yang lain tidak menghadapi masalah untuk berbuat demikian.

Pirdaus diwakili Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Jahaberdeen Mohamad Yunoos, M.Kirubanandan dan Zakkariyah Mohd Sultan manakala Wan Azizah diwakili Christopher Fernando, Malik Imtiaz Sarwar dan Saiful Izham Ramli.

Muzamin dan SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Kamaludin Md Said, Saiful Edris Zainuddin dan Kamarudin Samsun.

Perbicaraan disambung Khamis.(23 Jun 2004)


--------------------------------------

Wan Azizah minta mahkamah ketepikan petisyen pilihan raya

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Selasa mendengar bantahan awal oleh calon Parti Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, supaya diketepikan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen Permatang Pauh, Datuk Pirdaus Ismail.

Petisyen itu difailkan pada 30 April bagi pembatalan keputusan pilihan raya Wan Azizah, defendan pertama, yang menang dengan kelebihan 590 undi dalam pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac lepas.

Peguam utama bagi Wan Azizah, Christopher Fernando berhujah bahawa petisyen itu jelas menyalahgunakan proses mahkamah dan wajar terus diketepikan.

Beliau memberi alasan bahawa petisyen itu gagal menyatakan sebarang cara tindakan dan apa yang dipanggil fakta dan alasan dalam petisyen itu tidak lebih dari dakwaan kosong semata.

"Ia hanya wajar dianggap desas-desus, khabar angin, spekulasi dan pandangan lemah yang tidak dapat diterima menyebabkan petisyen itu jadi lemah dan sebagai rekaan. Adalah jelas pempetisyen tidak tahu apa yang beliau sendiri mahukan dengan meminta lima perkara yang berlainan," kata beliau.

Pempetisyen antara lain meminta penyemakan dan pengiraan semula undi dilakukan atas alasan ia mendapat majoriti undi sah dan Dr Wan Azizah tidak wajar dipilih dan pemilihan itu adalah batal.

Pirdaus mendakwa pegawai penyelia pilihan raya gagal mengisytihar dan mengumumkan keputusan pengiraan pertama dan telah melaksanakan budibicaranya tanpa asas undang-undang.

Beliau juga mendakwa agen pengiranya telah secara tidak sah dilarang dari hadir semasa pengiraan undi, keselamatan peti undi yang longgar, peti undi tidak termateri dan cara pengiraan yang tidak adil.

Dalam pilihan raya itu, Pirdaus mendapat 21,147 undi, tewas di tangan Dr Wan Azizah yang mendapat 21,737 undi, dengan majoriti 590.

Dalam petisyen itu, Pirdaus menamakan Dr Wan Azizah sebagai responden pertama, pegawai penyelia pilihan raya parlimen Permatang Pauh Muzamin Mastak sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihanraya respond ketiga.(22 Jun 2004)

Read more...

About This Blog

About This Blog

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP